Bahasa rojak merupakan bahasa yang bercampur, iaitu bahasa ibunda dengan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Cina, dan sebagainya. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam kalangan remaja. Penggunaan bahasa ini juga akan menyebabkan generasi muda menjadi lemah dalam kemahiran menulis dan bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, saya cukup kecewa dengan segelintir pihak yang bersikap mengambil sikap tidak ambil peduli dalam hal-hal yang melibatkan Bahasa Melayu. Pada suatu hari, saya telah dikejutkan dengan satu gambar yang diambil oleh sahabat saya. Gambar yang saya lihat itu merupakan gambar memo yang dikeluarkan oleh pihak perpustakaan di sebuah pusat pengajian tinggi awam. Saya cuba meneliti bahasa yang digunakan oleh pihak perpustakaan, saya cuba berfikir sejenak memikirkan tahap pendidikan yang diterima oleh pegawai yang menaip memo tersebut. Saya berfikir, adakah pegawai tersebut tidak pernah didedahkan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang betul? Saya beranggapan, sekiranya pihak pentadbiran tidak memupuk semangat cintakan bahasa, bagaimana pula hendak memupuk nilai sedemikian ke dalam diri para pelajar?
Pada pandangan saya, semua pihak tidak kira sama ada pelajar, pegawai pentadbir, dan pensyarah perlu mempunyai satu sikap bertanggungjawab dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Pihak kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah bertungkus lumus dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Kita tidak boleh mempunyai sikap tidak ambil peduli. Sepanjang saya berada di institut pengajian tinggi ini, pihak universiti pernah menganjur seminar yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Namun, saya kecewa kerana hanya pelajar dan pensyarah sahaja yang memenuhi di setiap ruang di dalam dewan. Oleh itu, inilah kesannya. Tepuk dada tanyalah hati.
No comments:
Post a Comment