Monday, 24 September 2012

Penggunaan kata pemeri

Pada masa ini, apabila kita membuka laman sosial seperti Facebook, myspace, dan sebagainya kita pasti akan dapat melihat pelbagai corak penulisan yang dibuat oleh pengikut dalam laman sosial tersebut. Walau bagaimanapun, kebanyakan pengikut yang menulis komen atau penyataan pada laman tersebut sering melakukan kesalahan tatabahasa. Antara kesalahan yang sering dapat kita lihat ialah kesalahan penggunaan kata pemeri. Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2011:263), kata pemeri merupakan unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. kata pemeri terbahagi kepada dua, iaitu ialah dan adalah. Kata pemeri ialah merupakan kata pemeri yang hadir di hadapan kata nama, manakala kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Saya memetik ayat daripada laman sosial Facebook sebagai bukti berlakunya kesalahan penggunaan kata pemeri seperti berikut :

Lelaki yang hebat adalah lelaki yang menyuruh orang yang disayanginya menutup aurat dengan sempurna.

Dalam ayat tersebut, kata pemeri adalah hadir di hadapan kata lelaki. Lelaki merupakan kata yang tergolong dalam kata nama. Ayat tersebut mengalami kesalahan penggunaan kata pemeri kerana kata pemeri adalah hadir di hadapan kata nama. Kata pemeri yang betul ialah kata pemeri ialah. Hal ini demikian kerana kata pemeri ialah merupakan kata pemeri yang hadir di hadapan kata nama. Berikut merupakan ayat yang menggunakan kata pemeri yang betul :

Lelaki yang hebat ialah lelaki yang menyuruh orang yang disayanginya menutup aurat dengan sempurna.

Oleh itu, kita hendaklah memahami akan fungsi dan rumus tatabahasa terutama dalam penulisan kita. Penggunaan rumus yang betul melambangkan keperihatinan kita terhadap bahasa yang kita tuturkan.

No comments:

Post a Comment

R
A
D
N
A
K
S
I