Pada catatan diari yang lalu saya ada berkongsi satu maklumat tentang Bahasa Rojak. Bahasa Rojak merupakan bahasa yang bercampur kod dan mampu menjadikan Bahasa Melayu kurang berkualiti. Walau bagaimanapun, padahari ini saya ingin berkongsi tentang satu topik yang fikirkan menarik untuk dikongsikan. Kita sedia maklum bahawa Bahasa Melayu Baku merupakan bahasa yang menjadi bahasa rasmi dan berfungsi sebagai bahasa pengantar bagi badan-badan kerajaan. Saya tertarik ingin berkongsi maklumat tentang ini setelah menonton video yang dipetik daripada sebuah drama bersiri yang disiarkan di saluran satu Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Drama ini mengisahkan seorang lelaki yang merupakan seorang bekas guru Bahasa Melayu yang kuat memperjuangkan Bahasa Melayu. Beliau akan menegur dan membaiki Bahasa Melayu yang digunakan oleh sesiapa sahaja.
Pada pandangan saya, sekiranya kita sebagai penutur natif Bahasa Melayu tetapi tidak memperjuangkan bahasa kita sendiri, akhirnya bahasa kita akan terpinggir. Apabila melihat watak utama dalam drama ini yang dilakonkan oleh Dato' Rahim Razali membuat teguran, pasti ramai yang akan beranggap bahawa Bahasa Melayu sukar untuk dipelajari. Namun, inilah hakikatnya, kita harus menjaga kualiti Bahasa Melayu. Cuba untuk membudayakan penggunaan Bahasa Melayu Baku. Hal ini demikian kerana Bahasa Melayu Baku merupakan bahasa yang dipersetujui oleh seluruh masyarakat dan bahasa ini merupakan bahasa yang mempunyai keseragaman dalam sistem bahasa.
No comments:
Post a Comment