Pada hari ini, saya ingin berkongsikan sedikit dapatan hasil daripada pemerhatian saya. Saya amat tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai penggunaan Bahasa Melayu. Semasa saya mencari-cari video untuk dijadikan sebagai koleksi saya, saya telah terjumpa video mengenai Pertandingan Pidato Bahasa Melayu peringkat antarabangsa. Saya amat tertarik dengan persembahan yang dibuat oleh para peserta yang terdiri daripada peserta dari luar negara. Saya kagum dengan penguasaan Bahasa Melayu para peserta. Dalam masa yang sama, saya berfikir, mengapa kita sebagai penutur natif Bahasa Melayu tidak mahu mempelajari tentang ilmu bahasa kita sendiri. Selain itu, generasi pada masa ini hampir melupakan tentang Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan bagi negara kita. Saya akan kongsikan video tersebut kepada para pengikut blog saya. Pada masa yang sama, kita cuba untuk menghayati apa-apa yang tersirat di sebalik video tersebut.
Saya amat teruja apabila melihat Bahasa Melayu turut dituturkan oleh masyarakat luar. Hal ini juga dapat menunjukkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa yang ramai penuturnya di dunia. Saya juga berpendapat bahawa tidak mustahil pada suatu hari nanti Bahasa Melayu dapat menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk berkomunikasi di dunia. Bahasa Melayu juga sama seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu mempunyai sistem-sistem bahasanya yang tersendiri dan unik. Saya melihat sahaja di sekitar lingkaran hidup saya. Saya amat sedih apabila masih ada anak Melayu yang sudah malu untuk menuturkan Bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan orang lain. Saya amat hairan dalam hal ini. Adakah Bahasa Melayu ini ketinggalan zaman? Adakah Bahasa Melayu tidak standard untuk dituturkan? Di institusi pengajian tinggi, saya lihat amat kurang usaha untuk membudayakan Bahasa Kebangsaan. Dalam pengajian saya dalm bidang Bahasa Melayu, pada pandangan saya Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia terutama Bahasa Inggeris. Oleh itu, saya harap kita sama-sama dapat fikirkan dan renung-renungkan.
No comments:
Post a Comment