Saya ingin berkongsi kepada para pembaca mengenai dialek di negeri Johor. Saya merupakan anak jati Johor. Salasiah keluarga saya berketurunan Jawa. Saya ingin berkongsi satu kata dalam dialek saya, iaitu sanggap. Sanggap bermaksud menguap. Contoh ayat, anak kau dah sanggap tu, suruh dia tidur. Walau bagaimanapun, kata sanggap turut terdapat dalam dialek lain setelah saya membuat sedikit soal selidik ke atas rakan-rakan serumah saya. Saya amat tertarik dengan hal ini apabila mengetahui kata sanggap turut ada dalam dialek utara. Namun, maksud yang dibawa adalah berbeza. Dalam dialek utara, sanggap membawa maksud terlalu mengkehendaki sesuatu. Saya tidak pernah menyangka bahawa kata sanggap ada dalam dialek utara walaupun maksudnya berbeza.
Oleh itu, saya ingin simpulkan bahawa bahasa kita merupakan bahasa yang unik kerana dalam Bahasa Melayu terdapat pelbagai dialek yang dibahagikan berdasarkan tempat. Kadang-kala kita mendapati bahawa kata yang digunakan khusus oleh penutur sesuatu dialek turut terdapat dalam dialek yang lain. Namun, maksud yang dibawa oleh kata itu berbeza. Dalam hal ini, kita perlu berjaga-jaga kerana mungkin dalam dialek kita maksudnya baik tetapi dalam dialek orang lain, kata itu membawa kepada konotatif yang negatif. Oleh itu, saya mencadangkan apabila kita hendak berbual dengan rakan-rakan yang berlainan negeri dan dialek, kita hendaklah menggunakan Bahasa Melayu yang standard agar tidak berlakunya salah faham.
No comments:
Post a Comment